Untuk rekod, sebelum menulis dengan lebih panjang lebar
mengenai filem antara filem animasi Koe No Katachi, perlu diingatkan bahawa penulis memberi ulasan sebagai peminat filem umum dan bukannya dari kaca mata
peminat filem anime.
Malahan, jujurnya penulis juga hanya membaca beberapa
chapter dari siri manga ‘Koe No Katachi’ ini dan tidaklah menghafaz komik ini berberapa
kali sebagaimana peminat tegar manga yang lain.
Sinopsis
Filem Koe No Katachi ini merupakan adaptasi dari komik manga
yang berkisar tentang kekeluargaan, dunia persahabatan dan percintaan
kanak-kanak dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah.
Penonton akan dibawa menelusuri pengalaman hidup seorang
budak lelaki bernama Shoya Ishida yang membuli seorang budak perempuan kelainan
upaya bernama Shouko Nishimiya.
Walaupun dibuli dengan teruk oleh Ishida dan rakan-rakanya,
Nishimiya masih berhati besar dan memaafkan kejahatan yang telah dilakukan
terhadapnya.
Sehinggalah pada satu hari, satu peristiwa telah berlaku
diantara mereka yang menyebabkan Ishida berubah dan menjadi pelindung kepada
Nishimiya.
Apakah yang telah berlaku kepada Ishida? Mengapakah dia
berubah fikiran dan bertekad untuk melindungi Nishimiya? Anda perlu tonton filem
ini untuk mengetahui jawapannya.
Tema Dan Persoalan
Filem yang berdurasi lebih 2 jam ini nyata sarat dengan
pelbagai mesej yang cuba disampaikan kepada penonton; dari aspek kekeluargaan,
persahabatan, percintaan sehinggalah kepayahan hidup mencari rezeki.
Terdapat juga beberapa persoalan berat yang dilontarkan
kepada penonton seperti perihal kematian dan masalah bunuh diri yang terlalu
kerap membelenggui masyarakat Jepun.
Namun, tema asas kepada filem ini adalah bagaimana ‘politik’
kehidupan berlaku di sekeliling kita.
Hal ini diterjemahkan dengan jelas dalam beberapa babak awal
file mini sehinggakan penonton berasa kasihan terhadap dua karakter utama file
mini dari dua perspektif yang berbeza- sama ada dari watak Nishimiya yang
dibuli, ataupun dari watak Ishida yang menjadi mangsa fitnah dan disisihkan.
Malahan, penonton juga didedahkan dengan karekter-karekter
yang membawa beberapa personaliti negatif seperti hipokrit, penakut, penipu dan
perasaan rendah diri yang kompleks (inferiority complex).
Persoalan-persoalan ini menjadikan filem Koe No Katachi
bukan sahaja filem untuk golongan yang matang, malah ia juga membuktikan bahawa
betapa dekatnya file mini dengan reality dunia sebenar.
Positif
Terdapat banyak perkara positif yang boleh diambil dari
animasi hebat ini. Perkara pokok yang perlu diceritakan disini adalah kejayaan
Kyoto Animation dalam memastikan feelings yang didapati semasa membaca komik
tersebut turut dapat dirasai semasa menonton filem ini.
Seperti komik manganya, filem ini telah dibuat dengan baik
agar ia cantik dan indah. Malahan, tidak keterlaluan jika dikatakan ia
sebenarnya jauh lebih cantik dari apa yang penulis bayangkan sebelum menonton
animasi ini.
Selain kualiti animasi yang top notch, penonton juga
dihidangkan dengan runut bunyi (soundtrack) yang mengasyikan. Walaupun ia tidak
mempunyai lagu tema yang popular, runut bunyi yang dipersembahkan seolah olah
membuai penonton dan menghidupkan perasaan sewaktu menonton filem ini.
Tidak lengkap rasanya jika penulis tidak memberikan kredit
kepada Kyoto Animation kerana berjaya memberikan penonton ‘a roller coaster
emotional ride’ sepanjang tayangan filem ini.
Ada saatnya kita akan marah, ada masanya kita akan sedih dan
ada ketikanya kita akan tergelak besar apabila menonton babak-babak dalam filem
Koe No Katachi ini.
Malahan ada babak yang membuatkan penonton merasa
seolah-olah mahu menjerit sekuat-kuatnya di dalam panggung kerana kecewa dan
mengharapkan sesetengah babak dalam ini agar tidak berlaku.
Tanpa ragu, Koe No Katachi adalah sebuah filem yang sangat
kuat dari segi permainan emosinya. Top notch.
Negatif
Tidak puas hati! Itu komen pertama penulis sebaik sahaja tamat
menonton filem kerana bagi penulis filem ini tidak mempunyai klimaks yang
tetap.
Perasaan penonton apabila menonton filem ini dalah umpama
air pasang surut. Terdapat terlalu banyak emotional build up dalam filem ini; naik
dan turun beberapa kali tanpa menemui klimaks utama.
Ini kerana, filem ini diadaptasi dari siri manga. Dari manga,
terdapat banyak klimaks-klimaks kecil yang wujud demi membuatkan manga ini
menjadi lebih panjang. Maka, filem animasi ini terpaksa mempunyai banyak
klimaks-klimaks kecil ini demi memastikannya selari dengan siri manga yang
asal.
Terdapat terlalu banyak sub plot yang menyebabkan penulis
mengharapkan agar ia menjadi sebuah filem yang mudah dan straight forward-
namun sangkaan penulis adalah meleset. Ia jelas menunjukkan betapa rumitnya
sebuah kisah seperti benar-benar berlaku dalam dunia sebenar!
Jika anda menyangkakan filem ini bertemakan tentang cinta
antara seorang bekas pembuli dan seorang gadis pekak, anda mungkin agak tersasar.
Dari pemerhatian penulis, tiada satupun babak percintaan mereka – hanya kerana watak
Ishida melihat Nishimiya lebih kepada seorang kawan.
Penulis juga secara peribadi menyangkakan ia berkenaan
tentang cinta remaja antara dua watak utama dan turut bersedia untuk
mengalirkan air mata seperti sewaktu menonton filem Kimi No Nawa, namun penulis
lebih banyak dihidangkan dengan babak-babak lucu dalam filem ini.
Ia sebuah filem yang indah. Penuh dengan persoalan yang
ringkas dan yang rumit. Banyak memorable scenes dalam filem ini, cuma ia masih
gagal membuatkan penulis menangis. Mungkin ia salah penulis yang memberi
harapan terlalu tinggi kepada filem ini.
Penutup
Sekali imbas, filem Koe No Katachi ini adalah sebuah filem
adaptasi yang berjaya dan membuatkan penonton ralit menontonnya di panggung
wayang.
Terdapat banyak aspek postif yang boleh diambil dari filem
ini terutamanya dalam core values yang ingin digarapkan kepada penonton. Ia
sebuah filem yang menarik dan bakal membuatkan penonton terbuai dengan
penceritaan yang indah.
Jika penulis boleh ringkas kan filem ini dalam tiga
perkataan, ia adalah; indah, emosional dan realiti.
Verdict: 4.0/5.0
Nota: Oleh kerana GSC dan TGV bertindak membatalkan tayangan
filem Koe No Katachi di Malaysia akibat masalah cetak rompak, anda masih boleh
menonton filem ini di cawangan panggung wayang MMCineplexs. Ayuh ke panggung
segera! ;)
No comments:
Post a Comment