Wednesday, 24 May 2017

Review: Pirates of The Caribbean: Salazar’s Revange





Sebelum penulis pergi lebih jauh mengenai filem ke-5 dari siri franchais Pirates of The Caribbean ini, penulis sempat membaca beberapa review filem ini dari pandangan beberapa penulis antarabangsa.

Terdapat banyak penulis ulasan filem antarabangsa yang menyatakan bahawa filem terbaru Kepten Jack Sparrow ini adalah sebuah kegagalan, malahan ada yang menyifatkan ia seperti seekor sotong lembik.

Pesan penulis, pergi ke panggung, dan lihatlah sendiri filem ini. Jujurnya bagi penulis, ia adalah sebuah filem hebat dan ia adalah penamat yang sempurna bagi menutup franchais yang sudah berusia 14 tahun ini.

Sinopsis




Pada kali ini, penonton akan dibawa mengikuti pengembaraan Jack Sparrow (lakonan Johnny Depp) untuk mencari Poseidon Trident (trisula Poseidon) yang dikatakan mampu memusnahkan semua sumpahan yang wujud di lautan.

Pengembaraan Jack Sparrow kali ini kali ini diteman oleh Carina Smyth (lakonan mantap Kaya Scodelario), seorang astronomer dan Henry Turner (Brenton Twaithes), anak kepada Will Turner (masih ingat kepada Orlando “Legolas” Bloom?), sahabat lamanya.

Sedang pada itu, mereka juga sedang diburu oleh Kepten Armando Salazar, hantu Navy Sepanyol yang jiwanya terperangkap di tengah lautan akibat diperdayakan oleh Jack Sparrow, sewaktu Jack mula-mula dinaikkan pangkat menjadi kepten.

Pada masa yang sama, terdapat juga pasukan Navy British juga mahu menangkap Jack Sparrow dan mendapatkan Poseidon Trident tersebut untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Dengan wujudnya perperangan antara 3 penjuru ini, siapakah yang akan menang?

Siapakah yang akan menemui trisula tersebut dan menguasai laut?

Apakah keistimewaan Carina Smith yang membuatkannya satu-satunya harapan untuk menemui senjata tersebut?

Anda perlu tonton filem hebat ini untuk mengetahuinya.

Positif


KEPUASAN!

Itulah perasaan pertama penulis apabila selesai menonton filem ini. Jalan ceritanya telah digarap dengan baik oleh pengarahnya, J.Ronning & P.Sandberg dan ia sarat dengan aksi-aksi pertempuran hebat dan kelakar seperti mana filem-filem Pirates of The Caribbean yang sebelumnya.

Ringkasnya, ia masih menggunakan formula yang sama; pertempuran epik di darat dan di laut, babak kejar-mengejar yang kelakar, elemen magik, dialog-dialog yang mencuit hati telah diadun bersama sinematografi dan runut bunyi yang baik.



Dari segi pembawakan watak, Johnny Depp masih lagi membawa karekter asal Kepten Jack Sparrow; pemabuk, kaki perempuan, tidak bertanggung jawab dan menjelekkan. Cuma bezanya, wataknya dirasakan agak berusia dan lebih perlahan berbanding filem-filem sebelumnya.

Dari segi pembawakan watak baru, Raya Scodelario yang membawa watak Carina Smyth pula dilihat lebih berani dan menyerlah berbanding watak Henry Turner lakonan Brenton Thwaithes yang masih Nampak terlalu mentah.

Ramai yang mula membandingkan pasangan muda ini dengan Orlando Bloom dan Keira Knightly (power couple filem PoTC yang terdahulu), namun keserasian diantara Raya dan Brenton masih boleh diperbaiki.

Namun, perkara paling positif yang penulis paling suka mengenai file mini adalah penamatnya yang benar-benar mengakhiri beberapa “unfinished business” yang ditinggalkan dalam filem-filem yang sepenuhnya.

Lebih positif, terdapat ura-ura yang mengatakan siri franchais ini akan ditambah kepada dua hingga tiga filem lagi. Jika ia benar, kita mungkin dapat melihat wajah-wajah generasi baru untuk dunia PoTC.

Negatif



Agak sukar untuk mencari kelemahan dalam filem yang menyeronokkan ini. Namun ada beberapa aspek yang boleh diperbaiki.

Ramai yang mengkritik file mini kerana “jalan ceritanya” hampir sama dengan filem sebelumnya, namun bagi penulis, jika formula asalnya terbukti berkesan, mengapa kita perlu mengubahnya?

Jika babak-babak kejar mengejar dan punch line yang kelakar menjadi seolah-olah ‘identiti’ kepada siri PoTC, mengapakah kita perlu menidakkan hal tersebut? Mahukah kita menonton filem PoTC yang ‘identitinya’ tidaklah seseronok filem PoTC yang terdahulu?

Ada juga yang menyatakan kelemahan filem ini adalah kerana ia mempunyai terlalu banyak CGI (Computer Generated Imagery), terutamanya pada watak Captain Salazar dan kapalnya. Soalan saya, apa masalah penggunaan CGI dalam teknologi perfileman?


Jika anda mahu menonton ‘kehidupan yang sebenar’, jangan tengok wayang- sebaliknya tontonlah drama di TV pada waktu Maghrib. Bagi penulis, tiada salahnya menggunakan CGI – ia adalah satu cabang kreativiti industri perfileman. Malah, untuk menghasilkan CGI yang berkualiti bukanlah kerja yang mudah.

Apa yang boleh diperbaiki dalam filem ini adalah kekurangan ‘memorable moments’ dan ‘memorable lines’. Penonton bakal meninggalkan panggung dengan rasa puas, namun tiada apa yang boleh diperkatakan di antara mereka sewaktu mereka bangun meninggalkan tempat duduk mereka.

Susunan runut bunyi juga boleh diperbaiki, contohnya memperbanyakkan penggunaan runut bunyi tema asal siri franchais PoTC.  

Kesimpulan



PoTC: Salazar’s Revenge adalah filem yang menghiburkan dan memberikan kesinambungan yang baik kepada empat filem yang sebelumnya. Jika anda adalah peminat tegar siri PoTC, penamat filem ini mampu membuatkan anda menangis kegembiraan.

Jadi, apa lagi? Jangan lupa untuk tonton file mini di pawagam berhampiran ya!

VERDICT: 4.2/5.0

Saturday, 6 May 2017

JOB OPENINGS AT SEMUANYABOLA and PLAY4SPORTS! (Kerja Kosong)



SemuanyaBOLA dan Play4Sports sedang memerlukan orang untuk join family kami yang semakin membesar. Mintak tolong sebarkan! Maklumat lanjut dalam deskripsi.
Thanks! :D

Maklumat penuh:
SemuanyaBOLA and Play4Sports is hiring!
We are looking for creative and fresh candidates out there! 3 vacancies to work directly with our client, one of the biggest Sporting brand in Malaysia!
2 x Digital Media Content Creator:
Skills needed:
Graphic design
Basic video creation
Copywriting in English and Bahasa Malaysia
Planning and coordination
1 x Marketing & Communication Associates
Create company literature and other forms of communication.
Create marketing and promotional materials, both print and electronic.
Copyedit, proofread, and revise communications.
Design and launch email marketing campaigns.
Recommend, implement and maintain site design and operation.
Plan and deliver education courses and materials.
Work with manager and business units to determine event budget and manage expenses to that budget.
Promote products and services through public relations initiatives.
Develop marketing communications campaigns.
Create thought leadership materials.
Research media coverage and industry trends.
Develop fresh story ideas.
Conduct extensive media outreach.
Prepare briefing materials.
Manage information.
Prepare agendas and conduct research.
Send your resume to semuanyabola@gmail.com or play@play4sports.com

Wednesday, 26 April 2017

Review: Guardians Of The Galaxy Vol.2: Hanya Sebuah Filem Komedi?



Selepas 2 tahun filem Guardian Of The Galaxy diterbitkan, pengarah James Gunn kembali dengan sambungan kepada filem tersebut. Seperti filem pertama, penulis membayangkan kehebatan filem ini berterusan untuk sekuelnya, namun jangkaan penulis agak meleset.

Sinopsis



Filem GoTGV2 ini membawa penonton ke sebuah pengembaraan baru watak utama, Peter Quill (yang dilakonkan oleh Chris Pratt) yang berjumpa dengan ayah kandungnya.

Jika anda masih mengingati filem pertamanya, Peter ditinggalkan oleh ayahnya sejak kecil dan hanya membesar dengan ibunya sehinggalah ibunya meninggal dunia.

Setelah berjumpa dengan ayahnya, Peter telah dibawa ke sebuah planet lain dan didedahkan mengenai siapa dirinya yang sebenar. Rupa-rupanya terdapat satu rahsia besar mengenai diri sebenar Peter Quill yang belum didedahkan sebelum ini yang mampu mengubah nasib seluruh galaksi.

Apakah rahsia tersebut? Anda perlu tonton filem ini sendiri untuk mengetahuinya.

Tema Dan Persoalan



Sebenarnya, filem yang berdurasi 2 jam 16 minit ini sebenarnya terlalu padat dengan banyak kisah-kisah silam mengenai siapa sebenarnya Peter Quill.

In termasuklah siapa sebenarnya ayah beliau, apakah sebenarnya potensi sebenar beliau dan mengapakah Yondu Udonta (lakonan Michael Rooker), ketua askar upahan Ravangers merupakan watak penting dalam kehidupan Peter Quill.

Terdapat juga babak-babak percintaan diantara Peter Quill dan Gamora (lakonan Zoe Saldana) namun ia hanyalah sebahagian kecil dari pecahan cerita utama dalam filem ini. Selain itu, terselit juga kisah percintaan mini diantara watak Drax (lakonan Dave Bautista) dan watak baru bernama Mantis (lakonan Pom Klementieff).

Namun, persoalan pokok yang cuba diterapkan dalam filem ini tidak lain tidak bukan adalah elemen persahabatan dan kekeluargaan. Seperti franchais filem Fast & Furios, blue print kisah ‘sahabat’ menjadi ‘ahli keluarga’ ini turut menjadi rangka asas dalam penceritaan dalam filem ini.

Tema kekeluargaan juga turut boleh dilihat apabila penonton dibawa menelusuri perihal latar belakang Drax dan hubungan ‘love hate relationship’ diantara Gamora dan adik angkatnya, Nebula (lakonan Karen Gillan).

Jika filem pertama GoTG menunjukkan kepada anda bagaimana watak-watak utama ini bersatu, filem kedua ini bakal memperlihatkan kepada anda bagaimana hubungan diantara watak-watak ini diuji dan sejauh mana mereka akan berusaha untuk menyelamatkan satu sama lain.

Positif



Tidak keterlaluan jika dikatakan feelings semasa menonton filem pertama GoTG masih dapat dirasai dalam filem sekuel ini. Tidak banyak yang berubah, dari segi penggubahan warna, runut bunyi dan sinimatografi. Kebanyakan watak dari filem pertama juga diserlahkan semula dalam filem sekuel ini.

Seperti kehebatan barisan runut bunyi (soundtrack) filem pertama, filem sekuel ini juga mempunyai pilihan runut bunyi yang tidak kurang hebatnya. Terdapat lagu-lagu klasik yang popular dari era 70-an dan 80-an seperti Brandy (You’re Fine Girl) nyanyian Looking Glass dan Father and Son nyanyian Cat Stevens.

Dari segi penggunaan CGI (Computer Generated Images), tidak banyak yang perlu dipertikaikan. Jujurnya, penulis merasakan kualiti CGI yang digunakan dalam filem Marvel adalah lebih bagus dari filem-filem StarWars yang terbaru.

Lebih penting, ia tidak nampak serabut dan penonton boleh berhibur dengan aksi perperangan angkasa (space ship battle) tanpa rasa janggal.

Negatif



Sewaktu menonton filem “aksi” ini bersama rakan penulis, beliau telah tertidur kerana menurutnya, terlalu banyak babak percakapan dan dialog yang membosankan dalam filem ini.

Penulis bersetuju dengan pandangan beliau kerana, jika anda mahu menonton file mini hanya kerana mahu berseronok, ia adalah filem ‘banyak bercakap’ dan agak membosankan bagi sesetengah pihak.

Namun, jika anda benar-benar seorang fanatik filem GoTG yang pertama, perasaan itu tidak timbul kerana setiap sesi dialog yang muncul dalam filem ini adalah penting dalam memastikan anda faham akan jalan cerita yang sebenar yang disembunyikan dalam filem yang pertama.

Sungguhpun demikian, bagi penulis terdapat terlalu banyak dialog-dialog “punch line” dalam filem ini yang membuatkan penulis terfikir, “adakah ini sebenarnya sebuah filem lawak”?

Ia membuatkan seolah-olah filem ini kelihatan seperti sebuah filem komedi kekeluargaan yang penuh aksi.

Malah, jika anda bertanya kepada yang sudah menonton filem ini untuk meringkaskannya ke dalam dua perkataan, dua perkataan itu adalah ‘menarik’ dan ‘kelakar’.

Penulis tahu bahawa filem GoTG yang pertama mempunyai beberapa memorable punchlines yang utama, namun GoTGV2 mempunyai hampir 3 kali ganda punchline kelakar yang membuatkan penulis merasakan pengarah filem ini seolah-olah ‘trying too hard’ dari segi skripnya.

Penutup



Filem GoTGV2 adalah antara filem yang dinanti-natikan untuk tahun 2017. Ia adalah filem yang menarik, kelakar dan telah dibuat dengan baik. Penulis tidak merasa menyesal selepas menonton filem ini dan keluar dari panggung dengan rasa yang hanya 'biasa-biasa'.

Jujurnya, ia tidaklah sebagus filem yang pertama kerana gagal membuatkan penulis rasa seolah-olah tertunggu-tunggu Guardians of The Galaxy Vol.3 – seperti yang dirasakan selepas menonton filem yang pertama.

Jangan lupa untuk tonton sekual menarik ini di pawangam berhampiran anda sekarang!


Verdict: 4.0/5.0

Saturday, 22 April 2017

Review: Koe No Katachi (A Silent Voice) - Filem Anime Yang Menghampakan?




Untuk rekod, sebelum menulis dengan lebih panjang lebar mengenai filem antara filem animasi Koe No Katachi, perlu diingatkan bahawa penulis memberi ulasan sebagai peminat filem umum dan bukannya dari kaca mata peminat filem anime.

Malahan, jujurnya penulis juga hanya membaca beberapa chapter dari siri manga ‘Koe No Katachi’ ini dan tidaklah menghafaz komik ini berberapa kali sebagaimana peminat tegar manga yang lain.

Sinopsis



Filem Koe No Katachi ini merupakan adaptasi dari komik manga yang berkisar tentang kekeluargaan, dunia persahabatan dan percintaan kanak-kanak dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah.

Penonton akan dibawa menelusuri pengalaman hidup seorang budak lelaki bernama Shoya Ishida yang membuli seorang budak perempuan kelainan upaya bernama Shouko Nishimiya.

Walaupun dibuli dengan teruk oleh Ishida dan rakan-rakanya, Nishimiya masih berhati besar dan memaafkan kejahatan yang telah dilakukan terhadapnya.

Sehinggalah pada satu hari, satu peristiwa telah berlaku diantara mereka yang menyebabkan Ishida berubah dan menjadi pelindung kepada Nishimiya.

Apakah yang telah berlaku kepada Ishida? Mengapakah dia berubah fikiran dan bertekad untuk melindungi Nishimiya? Anda perlu tonton filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Tema Dan Persoalan

  
Filem yang berdurasi lebih 2 jam ini nyata sarat dengan pelbagai mesej yang cuba disampaikan kepada penonton; dari aspek kekeluargaan, persahabatan, percintaan sehinggalah kepayahan hidup mencari rezeki.

Terdapat juga beberapa persoalan berat yang dilontarkan kepada penonton seperti perihal kematian dan masalah bunuh diri yang terlalu kerap membelenggui masyarakat Jepun.

Namun, tema asas kepada filem ini adalah bagaimana ‘politik’ kehidupan berlaku di sekeliling kita.

Hal ini diterjemahkan dengan jelas dalam beberapa babak awal file mini sehinggakan penonton berasa kasihan terhadap dua karakter utama file mini dari dua perspektif yang berbeza- sama ada dari watak Nishimiya yang dibuli, ataupun dari watak Ishida yang menjadi mangsa fitnah dan disisihkan.

Malahan, penonton juga didedahkan dengan karekter-karekter yang membawa beberapa personaliti negatif seperti hipokrit, penakut, penipu dan perasaan rendah diri yang kompleks (inferiority complex).

Persoalan-persoalan ini menjadikan filem Koe No Katachi bukan sahaja filem untuk golongan yang matang, malah ia juga membuktikan bahawa betapa dekatnya file mini dengan reality dunia sebenar.

Positif

 
Terdapat banyak perkara positif yang boleh diambil dari animasi hebat ini. Perkara pokok yang perlu diceritakan disini adalah kejayaan Kyoto Animation dalam memastikan feelings yang didapati semasa membaca komik tersebut turut dapat dirasai semasa menonton filem ini.

Seperti komik manganya, filem ini telah dibuat dengan baik agar ia cantik dan indah. Malahan, tidak keterlaluan jika dikatakan ia sebenarnya jauh lebih cantik dari apa yang penulis bayangkan sebelum menonton animasi ini.

Selain kualiti animasi yang top notch, penonton juga dihidangkan dengan runut bunyi (soundtrack) yang mengasyikan. Walaupun ia tidak mempunyai lagu tema yang popular, runut bunyi yang dipersembahkan seolah olah membuai penonton dan menghidupkan perasaan sewaktu menonton filem ini.

Tidak lengkap rasanya jika penulis tidak memberikan kredit kepada Kyoto Animation kerana berjaya memberikan penonton ‘a roller coaster emotional ride’ sepanjang tayangan filem ini.

Ada saatnya kita akan marah, ada masanya kita akan sedih dan ada ketikanya kita akan tergelak besar apabila menonton babak-babak dalam filem Koe No Katachi ini.

Malahan ada babak yang membuatkan penonton merasa seolah-olah mahu menjerit sekuat-kuatnya di dalam panggung kerana kecewa dan mengharapkan sesetengah babak dalam ini agar tidak berlaku.

Tanpa ragu, Koe No Katachi adalah sebuah filem yang sangat kuat dari segi permainan emosinya. Top notch.

Negatif




Tidak puas hati! Itu komen pertama penulis sebaik sahaja tamat menonton filem kerana bagi penulis filem ini tidak mempunyai klimaks yang tetap.

Perasaan penonton apabila menonton filem ini dalah umpama air pasang surut. Terdapat terlalu banyak emotional build up dalam filem ini; naik dan turun beberapa kali tanpa menemui klimaks utama.

Ini kerana, filem ini diadaptasi dari siri manga. Dari manga, terdapat banyak klimaks-klimaks kecil yang wujud demi membuatkan manga ini menjadi lebih panjang. Maka, filem animasi ini terpaksa mempunyai banyak klimaks-klimaks kecil ini demi memastikannya selari dengan siri manga yang asal.

Terdapat terlalu banyak sub plot yang menyebabkan penulis mengharapkan agar ia menjadi sebuah filem yang mudah dan straight forward- namun sangkaan penulis adalah meleset. Ia jelas menunjukkan betapa rumitnya sebuah kisah seperti benar-benar berlaku dalam dunia sebenar!

Jika anda menyangkakan filem ini bertemakan tentang cinta antara seorang bekas pembuli dan seorang gadis pekak, anda mungkin agak tersasar. Dari pemerhatian penulis, tiada satupun babak percintaan mereka – hanya kerana watak Ishida melihat Nishimiya lebih kepada seorang kawan.

Penulis juga secara peribadi menyangkakan ia berkenaan tentang cinta remaja antara dua watak utama dan turut bersedia untuk mengalirkan air mata seperti sewaktu menonton filem Kimi No Nawa, namun penulis lebih banyak dihidangkan dengan babak-babak lucu dalam filem ini.

Ia sebuah filem yang indah. Penuh dengan persoalan yang ringkas dan yang rumit. Banyak memorable scenes dalam filem ini, cuma ia masih gagal membuatkan penulis menangis. Mungkin ia salah penulis yang memberi harapan terlalu tinggi kepada filem ini.

Penutup




Sekali imbas, filem Koe No Katachi ini adalah sebuah filem adaptasi yang berjaya dan membuatkan penonton ralit menontonnya di panggung wayang.

Terdapat banyak aspek postif yang boleh diambil dari filem ini terutamanya dalam core values yang ingin digarapkan kepada penonton. Ia sebuah filem yang menarik dan bakal membuatkan penonton terbuai dengan penceritaan yang indah.

Jika penulis boleh ringkas kan filem ini dalam tiga perkataan, ia adalah; indah, emosional dan realiti.

Verdict: 4.0/5.0

Nota: Oleh kerana GSC dan TGV bertindak membatalkan tayangan filem Koe No Katachi di Malaysia akibat masalah cetak rompak, anda masih boleh menonton filem ini di cawangan panggung wayang MMCineplexs. Ayuh ke panggung segera! ;)

Wednesday, 12 April 2017

Review: Fast And Furious 8 - Filem Aksi Terhebat Tahun Ini!



Sedar tak sedar, sudah 16 tahun siri filem franchais ini menghiburkan kita di pawagam dengan kini sudah muncul filemnya yang ke-8.

Untuk rekod, Mejah bukanlah seorang peminat tegar untuk siri Fast & Furious ini. Namun, sebagai peminat filem, Mejah layan semua jenis movie dan biasanya akan membuat judgement based on apa yang Mejah rasa- termasuklah siri franchais filem ini.

SINOPSIS



Filem Fast & Furious 8 (Fate of The Furious) ini menceritakan bagaimana Dominic Toretto (lakonan Vin Diesel), watak utama dalam file mini berpaling tadah dari kumpulannya dan menyertai seorang hacker licik yang digelar Cypher.

Semasa dipaksa untuk bekerja untuk melaksanakan misi Cypher, Dom terpaksa berperang dengan ahli kumpulan asalnya yang dibantu oleh bekas-bekas musuhnya.

Kenapa Dom belot?
Apakah misi yang diberikan oleh Cypher kepada Dom?
Adakah Dom benar-benar belot pada pasukannya, atau dia hanya berpura-pura?

Ha.. yang tu semua spoiler. Tak boleh nak bagitahu. Korang kena tengok sendiri.

POSITIF:



Jika Fast & Furious 7 dahulu pernah di troll kerana mempunyai banyak aspek teknikal yang dikatakan terlalu mengarut (seperti driveway kapal terbang yang terlalu panjang dan gear box kereta Toretto yang mencecah gear 30 – ekoran banyak babak gear shift), kali ini aspek tersebut telah diperkemaskan.

Sejujurnya, Mejah dapat apa yang Mejah expect dari sebuah filem tipikal Fast & Furious; wujud babak-babak wajib seperti aksi lumba kereta yang mendebarkan, persahabatan, kekeluargaan, kereta-kereta mewah dan eksotik, aksi pergaduhan yang luar biasa dan gadis-gadis cantik.

Antara memorable moments yang Mejah rasa menarik adalah sewaktu klimaks filem- babak perperangan diatas salji di antara 3 pihak yang disertai oleh kumpulan Dom, kumpulan militant Russia dan kapal selam yang dikawal oleh Cypher.

Selain padat dengan aksi-aksi yang serius, penonton juga dihiburkan dengan beberapa babak yang mencuit hati terutamanya dari sesi dialog Roman Pearce (Tyrese Gibson) dengan watak-watak yang lain.

Malah, pelakon British yang terkenal dengan watak garang, Jason Statham (Deckard Shaw) juga mempunyai beberapa babak dialog kelakar bersama Dwyne Johnson (Luke Hobbs).

Pembawaan watak Cypher oleh Charlize Theron juga boleh dikatakan sempurna dan menjadi; mengambil kira aspek Charlize juga merupakan nama yang besar dalam industry perfileman.

Paling mencuri tumpuan adalah wujudnya watak ibu kepada Owen dan Deckard Shaw, yang diterajui oleh Hellen Mirren. Watak yang dibawakan oleh Hellen, Nampak kejam dan kelakar. Top notch.

Dari segi dialog, sinimatografi dan runut bunyi, tiada apa yang boleh Mejah perlu persoalkan kerana bagi Mejah, semuanya telah dilakukan dengan begitu teliti dan sempurna.

Sayangnya, dari segi promosi filem ini, tiada runut bunyi khas yang menjadi hit- seperti mana yang berlaku kepada lagu ‘See You Again’ untuk filem Fast & Furious 7.

Pemilihan latar tempat pada kali ini pula akan membawa anda ke Havana (Cuba), Berlin (Jerman) New York (Amerika) dan kawasan ais Russia.

NEGATIF:



Bagi Mejah, susah untuk mencari perkara yang dikatakan negatif dari filem ini. Bukan bersikap biased, namun jujurnya, Mejah ralit menonton filem ini sehinggakan tidak terasa hampir 3 jam (2 jam 40 minit, to be exact) berlalu.

Cuma, bagi mereka yang mempunyai mata setajam helang, mereka mungkin dapat melihat beberapa babak yang dijanakan melalui CGI (Computer Generated Graphics).

Namun, bagi mereka yang hanya mahu menikmati filem ini tanpa memikirkan tentang benda lain, hal CGI ini bukanlah perkara yang terlalu besar untuk ‘mencacatkan’ filem ini.

Terdapat babak dimana kereta pintar yang dilengkapi dengan computer telah digodam oleh Cypher dan pasukannya. Bagi Mejah, babak-babak ini agak berisiko kerana dengan jelas ia menunjukkan bahawa kereta dari sesetengah jenama mudah digodam oleh hacker.

Ia telah memberi pengiklanan kepada pengeluar jenama-jenama kereta ini, namun mungkin bukan dalam cara yang betul.

KONKLUSI:



Fate Of The Furious (Fast and Furious 8) adalah filem wajib tonton untuk tahun ini. Ia padat dengan aksi-aksi yang mendebarkan, tanpa meninggalkan blue print persahabatan dan kekeluargaan yang sekian lama diterapkan kepada peminat tegar siri ini. Tiada kecacatan besar bagi filem ini dan bagi Mejah personally, ia adalah sebuah filem yang berjaya.

VERDICT: 4.5/5

NOTA: Semua tulisan adalah pandangan persendirian Mejah. Korang boleh pergi ke panggung dan mula menonton Fast And Furious 8 mulai 12 April 2017!