Selepas 2 tahun filem Guardian Of The Galaxy diterbitkan, pengarah James
Gunn kembali dengan sambungan kepada filem tersebut. Seperti filem pertama,
penulis membayangkan kehebatan filem ini berterusan untuk sekuelnya, namun
jangkaan penulis agak meleset.
Sinopsis
Filem GoTGV2 ini membawa penonton ke sebuah pengembaraan
baru watak utama, Peter Quill (yang dilakonkan oleh Chris Pratt) yang berjumpa
dengan ayah kandungnya.
Jika anda masih mengingati filem pertamanya, Peter
ditinggalkan oleh ayahnya sejak kecil dan hanya membesar dengan ibunya
sehinggalah ibunya meninggal dunia.
Setelah berjumpa dengan ayahnya, Peter telah dibawa ke
sebuah planet lain dan didedahkan mengenai siapa dirinya yang sebenar.
Rupa-rupanya terdapat satu rahsia besar mengenai diri sebenar Peter Quill yang
belum didedahkan sebelum ini yang mampu mengubah nasib seluruh galaksi.
Apakah rahsia tersebut? Anda perlu tonton filem ini sendiri
untuk mengetahuinya.
Tema Dan Persoalan
Sebenarnya, filem yang berdurasi 2 jam 16 minit ini
sebenarnya terlalu padat dengan banyak kisah-kisah silam mengenai siapa
sebenarnya Peter Quill.
In termasuklah siapa sebenarnya ayah beliau, apakah
sebenarnya potensi sebenar beliau dan mengapakah Yondu Udonta (lakonan Michael
Rooker), ketua askar upahan Ravangers merupakan watak penting dalam kehidupan
Peter Quill.
Terdapat juga babak-babak percintaan diantara Peter Quill
dan Gamora (lakonan Zoe Saldana) namun ia hanyalah sebahagian kecil dari
pecahan cerita utama dalam filem ini. Selain itu, terselit juga kisah
percintaan mini diantara watak Drax (lakonan Dave Bautista) dan watak baru
bernama Mantis (lakonan Pom Klementieff).
Namun, persoalan pokok yang cuba diterapkan dalam filem ini tidak
lain tidak bukan adalah elemen persahabatan dan kekeluargaan. Seperti franchais
filem Fast & Furios, blue print kisah ‘sahabat’ menjadi ‘ahli keluarga’ ini
turut menjadi rangka asas dalam penceritaan dalam filem ini.
Tema kekeluargaan juga turut boleh dilihat apabila penonton
dibawa menelusuri perihal latar belakang Drax dan hubungan ‘love hate relationship’
diantara Gamora dan adik angkatnya, Nebula (lakonan Karen Gillan).
Jika filem pertama GoTG menunjukkan kepada anda bagaimana
watak-watak utama ini bersatu, filem kedua ini bakal memperlihatkan kepada anda
bagaimana hubungan diantara watak-watak ini diuji dan sejauh mana mereka akan
berusaha untuk menyelamatkan satu sama lain.
Positif
Tidak keterlaluan jika dikatakan feelings semasa menonton
filem pertama GoTG masih dapat dirasai dalam filem sekuel ini. Tidak banyak
yang berubah, dari segi penggubahan warna, runut bunyi dan sinimatografi.
Kebanyakan watak dari filem pertama juga diserlahkan semula dalam filem sekuel
ini.
Seperti kehebatan barisan runut bunyi (soundtrack) filem
pertama, filem sekuel ini juga mempunyai pilihan runut bunyi yang tidak kurang
hebatnya. Terdapat lagu-lagu klasik yang popular dari era 70-an dan 80-an
seperti Brandy (You’re Fine Girl) nyanyian Looking Glass dan Father and Son
nyanyian Cat Stevens.
Dari segi penggunaan CGI (Computer Generated Images), tidak
banyak yang perlu dipertikaikan. Jujurnya, penulis merasakan kualiti CGI yang
digunakan dalam filem Marvel adalah lebih bagus dari filem-filem StarWars yang
terbaru.
Lebih penting, ia tidak nampak serabut dan penonton boleh berhibur
dengan aksi perperangan angkasa (space ship battle) tanpa rasa janggal.
Negatif
Sewaktu menonton filem “aksi” ini bersama rakan penulis,
beliau telah tertidur kerana menurutnya, terlalu banyak babak percakapan dan
dialog yang membosankan dalam filem ini.
Penulis bersetuju dengan pandangan beliau kerana, jika anda
mahu menonton file mini hanya kerana mahu berseronok, ia adalah filem ‘banyak
bercakap’ dan agak membosankan bagi sesetengah pihak.
Namun, jika anda benar-benar seorang fanatik filem GoTG yang
pertama, perasaan itu tidak timbul kerana setiap sesi dialog yang muncul dalam
filem ini adalah penting dalam memastikan anda faham akan jalan cerita yang
sebenar yang disembunyikan dalam filem yang pertama.
Sungguhpun demikian, bagi penulis terdapat terlalu banyak dialog-dialog
“punch line” dalam filem ini yang membuatkan penulis terfikir, “adakah ini sebenarnya
sebuah filem lawak”?
Ia membuatkan seolah-olah filem ini kelihatan seperti
sebuah filem komedi kekeluargaan yang penuh aksi.
Malah, jika anda bertanya kepada yang sudah menonton filem ini
untuk meringkaskannya ke dalam dua perkataan, dua perkataan itu adalah ‘menarik’
dan ‘kelakar’.
Penulis tahu bahawa filem GoTG yang pertama mempunyai
beberapa memorable punchlines yang utama, namun GoTGV2 mempunyai hampir 3 kali
ganda punchline kelakar yang membuatkan penulis merasakan pengarah filem ini seolah-olah
‘trying too hard’ dari segi skripnya.
Penutup
Filem GoTGV2 adalah antara filem yang dinanti-natikan untuk
tahun 2017. Ia adalah filem yang menarik, kelakar dan telah dibuat dengan baik.
Penulis tidak merasa menyesal selepas menonton filem ini dan keluar dari
panggung dengan rasa yang hanya 'biasa-biasa'.
Jujurnya, ia tidaklah sebagus filem yang pertama kerana gagal
membuatkan penulis rasa seolah-olah tertunggu-tunggu Guardians of The Galaxy
Vol.3 – seperti yang dirasakan selepas menonton filem yang pertama.
Jangan lupa untuk tonton sekual menarik ini di pawangam berhampiran anda sekarang!
Verdict: 4.0/5.0