Wednesday 26 April 2017

Review: Guardians Of The Galaxy Vol.2: Hanya Sebuah Filem Komedi?



Selepas 2 tahun filem Guardian Of The Galaxy diterbitkan, pengarah James Gunn kembali dengan sambungan kepada filem tersebut. Seperti filem pertama, penulis membayangkan kehebatan filem ini berterusan untuk sekuelnya, namun jangkaan penulis agak meleset.

Sinopsis



Filem GoTGV2 ini membawa penonton ke sebuah pengembaraan baru watak utama, Peter Quill (yang dilakonkan oleh Chris Pratt) yang berjumpa dengan ayah kandungnya.

Jika anda masih mengingati filem pertamanya, Peter ditinggalkan oleh ayahnya sejak kecil dan hanya membesar dengan ibunya sehinggalah ibunya meninggal dunia.

Setelah berjumpa dengan ayahnya, Peter telah dibawa ke sebuah planet lain dan didedahkan mengenai siapa dirinya yang sebenar. Rupa-rupanya terdapat satu rahsia besar mengenai diri sebenar Peter Quill yang belum didedahkan sebelum ini yang mampu mengubah nasib seluruh galaksi.

Apakah rahsia tersebut? Anda perlu tonton filem ini sendiri untuk mengetahuinya.

Tema Dan Persoalan



Sebenarnya, filem yang berdurasi 2 jam 16 minit ini sebenarnya terlalu padat dengan banyak kisah-kisah silam mengenai siapa sebenarnya Peter Quill.

In termasuklah siapa sebenarnya ayah beliau, apakah sebenarnya potensi sebenar beliau dan mengapakah Yondu Udonta (lakonan Michael Rooker), ketua askar upahan Ravangers merupakan watak penting dalam kehidupan Peter Quill.

Terdapat juga babak-babak percintaan diantara Peter Quill dan Gamora (lakonan Zoe Saldana) namun ia hanyalah sebahagian kecil dari pecahan cerita utama dalam filem ini. Selain itu, terselit juga kisah percintaan mini diantara watak Drax (lakonan Dave Bautista) dan watak baru bernama Mantis (lakonan Pom Klementieff).

Namun, persoalan pokok yang cuba diterapkan dalam filem ini tidak lain tidak bukan adalah elemen persahabatan dan kekeluargaan. Seperti franchais filem Fast & Furios, blue print kisah ‘sahabat’ menjadi ‘ahli keluarga’ ini turut menjadi rangka asas dalam penceritaan dalam filem ini.

Tema kekeluargaan juga turut boleh dilihat apabila penonton dibawa menelusuri perihal latar belakang Drax dan hubungan ‘love hate relationship’ diantara Gamora dan adik angkatnya, Nebula (lakonan Karen Gillan).

Jika filem pertama GoTG menunjukkan kepada anda bagaimana watak-watak utama ini bersatu, filem kedua ini bakal memperlihatkan kepada anda bagaimana hubungan diantara watak-watak ini diuji dan sejauh mana mereka akan berusaha untuk menyelamatkan satu sama lain.

Positif



Tidak keterlaluan jika dikatakan feelings semasa menonton filem pertama GoTG masih dapat dirasai dalam filem sekuel ini. Tidak banyak yang berubah, dari segi penggubahan warna, runut bunyi dan sinimatografi. Kebanyakan watak dari filem pertama juga diserlahkan semula dalam filem sekuel ini.

Seperti kehebatan barisan runut bunyi (soundtrack) filem pertama, filem sekuel ini juga mempunyai pilihan runut bunyi yang tidak kurang hebatnya. Terdapat lagu-lagu klasik yang popular dari era 70-an dan 80-an seperti Brandy (You’re Fine Girl) nyanyian Looking Glass dan Father and Son nyanyian Cat Stevens.

Dari segi penggunaan CGI (Computer Generated Images), tidak banyak yang perlu dipertikaikan. Jujurnya, penulis merasakan kualiti CGI yang digunakan dalam filem Marvel adalah lebih bagus dari filem-filem StarWars yang terbaru.

Lebih penting, ia tidak nampak serabut dan penonton boleh berhibur dengan aksi perperangan angkasa (space ship battle) tanpa rasa janggal.

Negatif



Sewaktu menonton filem “aksi” ini bersama rakan penulis, beliau telah tertidur kerana menurutnya, terlalu banyak babak percakapan dan dialog yang membosankan dalam filem ini.

Penulis bersetuju dengan pandangan beliau kerana, jika anda mahu menonton file mini hanya kerana mahu berseronok, ia adalah filem ‘banyak bercakap’ dan agak membosankan bagi sesetengah pihak.

Namun, jika anda benar-benar seorang fanatik filem GoTG yang pertama, perasaan itu tidak timbul kerana setiap sesi dialog yang muncul dalam filem ini adalah penting dalam memastikan anda faham akan jalan cerita yang sebenar yang disembunyikan dalam filem yang pertama.

Sungguhpun demikian, bagi penulis terdapat terlalu banyak dialog-dialog “punch line” dalam filem ini yang membuatkan penulis terfikir, “adakah ini sebenarnya sebuah filem lawak”?

Ia membuatkan seolah-olah filem ini kelihatan seperti sebuah filem komedi kekeluargaan yang penuh aksi.

Malah, jika anda bertanya kepada yang sudah menonton filem ini untuk meringkaskannya ke dalam dua perkataan, dua perkataan itu adalah ‘menarik’ dan ‘kelakar’.

Penulis tahu bahawa filem GoTG yang pertama mempunyai beberapa memorable punchlines yang utama, namun GoTGV2 mempunyai hampir 3 kali ganda punchline kelakar yang membuatkan penulis merasakan pengarah filem ini seolah-olah ‘trying too hard’ dari segi skripnya.

Penutup



Filem GoTGV2 adalah antara filem yang dinanti-natikan untuk tahun 2017. Ia adalah filem yang menarik, kelakar dan telah dibuat dengan baik. Penulis tidak merasa menyesal selepas menonton filem ini dan keluar dari panggung dengan rasa yang hanya 'biasa-biasa'.

Jujurnya, ia tidaklah sebagus filem yang pertama kerana gagal membuatkan penulis rasa seolah-olah tertunggu-tunggu Guardians of The Galaxy Vol.3 – seperti yang dirasakan selepas menonton filem yang pertama.

Jangan lupa untuk tonton sekual menarik ini di pawangam berhampiran anda sekarang!


Verdict: 4.0/5.0

No comments:

Post a Comment