Saturday 22 April 2017

Review: Koe No Katachi (A Silent Voice) - Filem Anime Yang Menghampakan?




Untuk rekod, sebelum menulis dengan lebih panjang lebar mengenai filem antara filem animasi Koe No Katachi, perlu diingatkan bahawa penulis memberi ulasan sebagai peminat filem umum dan bukannya dari kaca mata peminat filem anime.

Malahan, jujurnya penulis juga hanya membaca beberapa chapter dari siri manga ‘Koe No Katachi’ ini dan tidaklah menghafaz komik ini berberapa kali sebagaimana peminat tegar manga yang lain.

Sinopsis



Filem Koe No Katachi ini merupakan adaptasi dari komik manga yang berkisar tentang kekeluargaan, dunia persahabatan dan percintaan kanak-kanak dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah.

Penonton akan dibawa menelusuri pengalaman hidup seorang budak lelaki bernama Shoya Ishida yang membuli seorang budak perempuan kelainan upaya bernama Shouko Nishimiya.

Walaupun dibuli dengan teruk oleh Ishida dan rakan-rakanya, Nishimiya masih berhati besar dan memaafkan kejahatan yang telah dilakukan terhadapnya.

Sehinggalah pada satu hari, satu peristiwa telah berlaku diantara mereka yang menyebabkan Ishida berubah dan menjadi pelindung kepada Nishimiya.

Apakah yang telah berlaku kepada Ishida? Mengapakah dia berubah fikiran dan bertekad untuk melindungi Nishimiya? Anda perlu tonton filem ini untuk mengetahui jawapannya.

Tema Dan Persoalan

  
Filem yang berdurasi lebih 2 jam ini nyata sarat dengan pelbagai mesej yang cuba disampaikan kepada penonton; dari aspek kekeluargaan, persahabatan, percintaan sehinggalah kepayahan hidup mencari rezeki.

Terdapat juga beberapa persoalan berat yang dilontarkan kepada penonton seperti perihal kematian dan masalah bunuh diri yang terlalu kerap membelenggui masyarakat Jepun.

Namun, tema asas kepada filem ini adalah bagaimana ‘politik’ kehidupan berlaku di sekeliling kita.

Hal ini diterjemahkan dengan jelas dalam beberapa babak awal file mini sehinggakan penonton berasa kasihan terhadap dua karakter utama file mini dari dua perspektif yang berbeza- sama ada dari watak Nishimiya yang dibuli, ataupun dari watak Ishida yang menjadi mangsa fitnah dan disisihkan.

Malahan, penonton juga didedahkan dengan karekter-karekter yang membawa beberapa personaliti negatif seperti hipokrit, penakut, penipu dan perasaan rendah diri yang kompleks (inferiority complex).

Persoalan-persoalan ini menjadikan filem Koe No Katachi bukan sahaja filem untuk golongan yang matang, malah ia juga membuktikan bahawa betapa dekatnya file mini dengan reality dunia sebenar.

Positif

 
Terdapat banyak perkara positif yang boleh diambil dari animasi hebat ini. Perkara pokok yang perlu diceritakan disini adalah kejayaan Kyoto Animation dalam memastikan feelings yang didapati semasa membaca komik tersebut turut dapat dirasai semasa menonton filem ini.

Seperti komik manganya, filem ini telah dibuat dengan baik agar ia cantik dan indah. Malahan, tidak keterlaluan jika dikatakan ia sebenarnya jauh lebih cantik dari apa yang penulis bayangkan sebelum menonton animasi ini.

Selain kualiti animasi yang top notch, penonton juga dihidangkan dengan runut bunyi (soundtrack) yang mengasyikan. Walaupun ia tidak mempunyai lagu tema yang popular, runut bunyi yang dipersembahkan seolah olah membuai penonton dan menghidupkan perasaan sewaktu menonton filem ini.

Tidak lengkap rasanya jika penulis tidak memberikan kredit kepada Kyoto Animation kerana berjaya memberikan penonton ‘a roller coaster emotional ride’ sepanjang tayangan filem ini.

Ada saatnya kita akan marah, ada masanya kita akan sedih dan ada ketikanya kita akan tergelak besar apabila menonton babak-babak dalam filem Koe No Katachi ini.

Malahan ada babak yang membuatkan penonton merasa seolah-olah mahu menjerit sekuat-kuatnya di dalam panggung kerana kecewa dan mengharapkan sesetengah babak dalam ini agar tidak berlaku.

Tanpa ragu, Koe No Katachi adalah sebuah filem yang sangat kuat dari segi permainan emosinya. Top notch.

Negatif




Tidak puas hati! Itu komen pertama penulis sebaik sahaja tamat menonton filem kerana bagi penulis filem ini tidak mempunyai klimaks yang tetap.

Perasaan penonton apabila menonton filem ini dalah umpama air pasang surut. Terdapat terlalu banyak emotional build up dalam filem ini; naik dan turun beberapa kali tanpa menemui klimaks utama.

Ini kerana, filem ini diadaptasi dari siri manga. Dari manga, terdapat banyak klimaks-klimaks kecil yang wujud demi membuatkan manga ini menjadi lebih panjang. Maka, filem animasi ini terpaksa mempunyai banyak klimaks-klimaks kecil ini demi memastikannya selari dengan siri manga yang asal.

Terdapat terlalu banyak sub plot yang menyebabkan penulis mengharapkan agar ia menjadi sebuah filem yang mudah dan straight forward- namun sangkaan penulis adalah meleset. Ia jelas menunjukkan betapa rumitnya sebuah kisah seperti benar-benar berlaku dalam dunia sebenar!

Jika anda menyangkakan filem ini bertemakan tentang cinta antara seorang bekas pembuli dan seorang gadis pekak, anda mungkin agak tersasar. Dari pemerhatian penulis, tiada satupun babak percintaan mereka – hanya kerana watak Ishida melihat Nishimiya lebih kepada seorang kawan.

Penulis juga secara peribadi menyangkakan ia berkenaan tentang cinta remaja antara dua watak utama dan turut bersedia untuk mengalirkan air mata seperti sewaktu menonton filem Kimi No Nawa, namun penulis lebih banyak dihidangkan dengan babak-babak lucu dalam filem ini.

Ia sebuah filem yang indah. Penuh dengan persoalan yang ringkas dan yang rumit. Banyak memorable scenes dalam filem ini, cuma ia masih gagal membuatkan penulis menangis. Mungkin ia salah penulis yang memberi harapan terlalu tinggi kepada filem ini.

Penutup




Sekali imbas, filem Koe No Katachi ini adalah sebuah filem adaptasi yang berjaya dan membuatkan penonton ralit menontonnya di panggung wayang.

Terdapat banyak aspek postif yang boleh diambil dari filem ini terutamanya dalam core values yang ingin digarapkan kepada penonton. Ia sebuah filem yang menarik dan bakal membuatkan penonton terbuai dengan penceritaan yang indah.

Jika penulis boleh ringkas kan filem ini dalam tiga perkataan, ia adalah; indah, emosional dan realiti.

Verdict: 4.0/5.0

Nota: Oleh kerana GSC dan TGV bertindak membatalkan tayangan filem Koe No Katachi di Malaysia akibat masalah cetak rompak, anda masih boleh menonton filem ini di cawangan panggung wayang MMCineplexs. Ayuh ke panggung segera! ;)

No comments:

Post a Comment